Wednesday, July 19, 2006

Gelatin Dalam Makanan; Pastikan HALAL!

Kita perlu sentiasa berhati-hati dengan setiap suap makanan yang akan masuk ke dalam perut kita.ini sebab dari sumber zat yang dibekalkan oleh setiap kunyahan itu akan dicerna oleh sistem penghadaman, diserap oleh saluran darah, seterusnya dikatabolisma untuk pertumbuhan badan kita. Daripada protein, karbohidrat, lemak, vitamin, ferum, kalsium dan pelbagai jenis zat lagi, seseorang itu akan tumbuh membesar dari sehari ke sehari sehingga usia merangkak kefasa pematangan tanpa kita sedari perjalanannya.

Ingatlah akan sabda baginda junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud '' Setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah lebih layak untuknya.''

Ulamak adalah segolongan manusia yang amat berhati-hati terhadap makanan yang diambil. Mereka tidak akan makan melainkan setelah mereka benar-benar lapar, dan makan sekadar untuk mengalas perut. Bahkan makanan itu benar-benar diyakini halal dan suci daripada segala bentuk keraguan. Telah dibuktikan bahawa daya ingatan mereka begitu kuat sehingga beratus-ratus hadith mampu dihafal.

Setiap makanan yang diambil memberi kesan kepada fizikal, peribadi, mental dan fisiologi kita. Ia juga menyumbang kepada khusyu' atau tidak kita di dalam solat dan ibadah.

Mengikut riwayat, Imam Syafie adalah seorang yang sangat menjaga makanan beliau. Pernah di suatu hari beliau telah terlupa akan hafalannya. Puas beliau cuba mengingati tetapi tetap gagal. Beliau berasa hairan dengan kejadian itu. Kebuntuan itu terbawa-bawa sehingga ke dalam tidur. Dalam tidur tersebut beliau didatangi sebuah mimpi yang menunjukkan bahawa beliau telah termakan makanan daripada penjual yang dalam keadaan berhadas besar.

Sebaik mimpi itu berakhir beliau lantas terjaga. Tanpa berlengah beliau berjalan menuju penjual tersebut. Imam Syafie bertanyakan hal tersebut kapada lelaki si penjual. Pada mulanya lelaki tersebut kelihatan marah dan beliau menafikan tuduhan tersebut. Tetapi akhirnya beliau mengakui bahawa beliau tidak mandi junub sebelum menyediakan makanan tersebut .

Daripada kisah di atas terdapat satu pengajaran yang penting untuk kita sama-sama renungi dan mengambil iktibar daripadanya. Pengajaran utama yang kita dapati adalah betapa pentingnya sikap berhati-hati dalam memilih makanan dan betapa pentingnya kita menjauhi makanan yang memudaratkan dan diragui kesuciannya.

Menurut peraturan asas hukum Syariah ( Kanun Undang-undang yang bersumber daripada hadith dan al-Quran ), adalah haram bagi orang Islam mengambil makanan dan minuman yang boleh membawa maut samada cepat atau lambat, seperti racun atau sesuatu yang membahayakan termasuk makan dan minum secara berlebihan sehingga boleh menjejaskan kesihatan'.

Umat Islam perlu menitikberatkan persoalan mengenai makanan dan minuman samada ia berkhasiat atau membahayakan kesihatan tubuh badan, mental dan fizikal. Ini sebab Islam menuntut umatnya agar sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan sebagaimana ditegaskan oleh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya 'The Lawful and The Prohibited in Islam' bahawa memakan makanan yang boleh memudaratkan diri adalah haram.

Islam memandang berat persoalan ini kerana setiap menu yang diambil akan terserap sebati dalam setiap titis darah dan ketul daging kita. Lantas adakah kita tidak malu untuk menadah tangan smbil berseru, '' Ya Allah.... Ya Rabb... Ya Tuhan....'' sedangkan tangan kita bersalut kotor lantaran kita makan, minum dan memakai pakaian dari rezeki yang tidak halal.

Kita sudah menjadi lali dan tidak sensitif dengan maksiat dan dosa lantaran kita sentiasa disuntik dengan pelbaai jenis ubat pelali. Dewasa ini terlalu banyak produk-produk makanan dan perubatan yang disediakan daripada bahan-bahan ya tidak halal. Ia dibungkus dengan menarik dan dijual kepada umat Islam. Ini adalah di antara usaha musuh-musuh Islam untuk melalaikan umat Islam dan menjauhkan kita daripada fitrah beragama. Tujuan mereka bukanlah untuk memasukkan umat Islam ke dalam agama mereka. Sudah cukup bagi mereka jikalau umat Islam tergelincir dan memandang serong terhadap agama yang mulia ini. Namun ia merupakan suatu bonus jika ada di antara umat Islam yang murtad.

Allah telah mengingatkan kita akan perkara tersebut di dalam Surah al-Baqarah, ayat [ ] yang bermaksud '' Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama mereka''..

Memang jelas disini bahawa orang kafir sentiasa memusuhi umat Islam dan mereka berusaha keras untuk membuang Islam dari diri umatnya. Selain menggunakan kekerasan seperti melancarkan peperangan terhadap negara Islam, menghukum gantung sampai mati pejuang Islam, melabel umat Islam sebagai pengganas lantas menggunakan alasan ini untuk melenyapkan umat Islam, golongan kuffar ini turut menggunakan taktik-taktik halus dan kotor seperti mempelbagaikan program-program yang menarik untuk dihidangkan di kaca televisyen, menganjurkan perlawanan sukan dan tarian.

Di samping itu makanan menjadi sasaran mereka untuk melemahkan umat Islam. Mereka mencampurkan ramuan yang tidak halal ke dalam makanan, minuman dan ubat-ubatan tanpa disedari oleh umat Islam. Malangnya, fenomena yang dicanang-canangkan sebagai kemajuan teknologi ini berkembang pesat dan dipandang ringan oleh masyarakat dan pihak penguasa Islam. Di antara bahan yang diragui yang biasa digunakan di dalam produk makanan dan ubatan adalah gelatin. Gelatin biasa digunakan dan ramai yang masih tidak sedar tentang bahaya gelatin.

Gelatin adalah sejenis protein tidak lengkap yang dihasilkan daripada sumber binatang iaitu daripada kulit dan bahagian-bahagian sendinya. Ia adalah bahan pemantap yang baik bagi industri pengeluar makanan seperti aiskrim, makanan pencuci mulut, agar-agar, sosej dan produk tenusu.

Biasanya gelatin yang digunakan di dalam industri tersebut adalah gelatin daripada terbitan kolagen iaitu protein daripada kulit, tulang dan tisu-tisu penghubung haiwan. Gelatin dihasilkan melalui proses tindak-balas air atau hidrolisis ke atas kolagen. Kulit, urat dan tulang babi dan lembu biasanya menjadi bahan mentah utama dalam penghasilan gelatin. Gelatin mempunyai sifat yang luar biasa. Larutan yang mengandungi hanya 1 peratus gelatin akan menjadi gel yang agak pejal apabila disejukkan. Sifat-sifat inilah yang menyebabkan ia digunakan secara meluas di dalam industri makanan seperti aiskrim, dadih, jeli, gula-gula getah dan jem. Dalam industri kosmetik, ia merupakan bahan penting didalam krim pelindung matahari, krim kulit, losyen badan, krim pelembap, krim malam, produk dandanan kuku dan krim cukur. Kosmetik yang mengandungi gelatin membolehkan kulit menyerap lembapan yang optimum yang penting untuk memelihara kelembapan dan keanjalan kulit. dan ubat-ubatan teknologi plastik, perekat dan fotografi.

Dalam pengeluaran ubat-ubatan dan produk perubatan, gelatin digunakan dengan meluas. Ia digunakan dalam ubat; sebagai pengikat untuk menghasilkan ubat tablet dan lozeng, sebagai pembalut ubat, sebagai medium dalam supositori, digunakan dalam span untuk menghentikan pendarahan dan banyak lagi.

Selain daripada gelatin, banyak lagi produk makanan yang terdapat di pasaran dihasilkan daripada sumber yang diragui kehalalannya. Di antaranya adalah produk daripada MSG yang digunakan secara meluas oleh para suri rumah dan restoran-restoran. MSG adalah kristal putih yang bertindak mengubah rasa pada makanan. Bagi tujuan perdagangan, ia dihasilkan daripada kanji melalui proses penapaian canggih.

Apa yang menimbulkan keraguan pada MSG adalah berkemungkinan proses penapaiannya menggunakan enzim Bactosoytone iaitu sejenis zat makanan bagi pembiakan bakteria untuk dijadikan ibu di dalam proses penapaian. Ini sebab Bactosoytone terhasil daripada pemecahan protein kacang soya dengan menggunakan enzim daripada ekstrak pankreas babi.

Produk -produk MSG memang dijual di pasaran terbuka dan amat digemari oleh pemilik-pemilik restoran dan kedai-kedai makanan. Boleh dikatakan bahawa setiap premis makanan menggunakan produk MSG di dalam masakan mereka supaya masakan menjadi lebih lazat dan perniagaan bertambah maju. Malah mereka lebih gemar menggunakan MSG yang tidak berlabel lantaran harganya 20 peratus lebih murah berbanding MSG berjenama. MSG yang tidak berlabel ini datang daripada Thailand. Di sini terdapat keraguan yang patut disedari oleh umat Islam. Adakah ia halal dimakan oleh umat Islam? Adakah anda yakin MSG yang dilabel tidak menggunakan katalis penting iaitu Bactosoytone, dan adakah anda sanggup menerima risiko mendapat banyak penyakit akibat pengambilan MSG atau produk-produk lain yang dijual secara komersial tanpa mengira aspek kesihatan dan kesuciannya.

Firman Allah yang bermaksud '' Maka hendaklah manusia memerhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit) kemudian Kami telah membelah bumi dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi ini, anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan pohon kurma, kebun-kebun yang lebat dan buah-buahan serta rumput-rumput untuk kesenanganmu dan untuk binatang ternakanmu.. [surah Abasa ; 24-32]

Kesimpulannya, Allah telah mengurniakan pelbagai jenis makanan untuk hamba-hambaNya. Kita mempunyai pelbagai pilihan dalam hidup sebagaimana sebuah pepatah yang berbunyi, 'Life is all about choices' . Maka pilihlah yang terbaik untuk diri dan keluarga. Janganlah memandang remeh setiap suap makanan dan setiap titis minuman pun yang masuk ke mulut kita. Ambillah yang jelas nyata halal, semoga kita menjadi hambaNya yang lebih bertaqwa kepada Yang Maha Pencipta dan hamba yang gerun kepada azab dan murkaNya.


Penulis : Samhani Ismail, Institut Sains Biologi UM
Artikel ini telah diterbitkan dalam DAF Julai 2006

No comments: