Wednesday, June 27, 2007

Muslimat Dakwah.. Senyumlah!

Muslimat Dakwah.. Senyumlah !

“ Walau seteruk manapun gigi kamu, kamu tetap kelihatan cantik apabila senyum dan tertawa dengan penuh ikhlas.”

Semasa penulis masih menuntut di kampus, terdapat satu fenomena yang kurang bersih diperhatikan. fenomena ini seringkali menjadi barah dalam agenda dakwah di kampus. Secara tidak disengajakan, ia menyebabkan ramai pelajar wanita di kampus merasa tersisih dan bersalah.

Apa yang saya maksudkan adalah wujudnya ‘klik’ yang membenteng antara pelajar yang terlibat dengan gerakan dakwah kampus dan pelajar umum yang boleh dikatakan sebagai mad’u.

“ Pelajar bertudung litup hanya berkawan dengan geng dia saja. Mereka tak campur dengan kita yang ‘ntah apa-apa ni’ ”. begini antara rungutan dan luahan hati yang pernah saya dengar. Ada juga sungutan yang kadangkala membuatkan saya tersenyum, “ Muslimin yang baik-baik tu, nak cari muslimat yang baik-baik aje. Pastu sape yang nak ajar kita yang teruk ni?”

Mungkin ada sesuatu yang kita boleh pelajari di sini. Dan munkin jua saya sendiri tergolong di kalangan mereka.

Muslimat dakwah…

Tunjukkan keramahan kamu kepada mad’u muslimat. Ramai wanita-wanita muslimat yang berada dikampus masih tidak tahu solat, tidak tahu istilah ‘aurat’. Mereka menanti-nanti kedatangan kalian mengetuk pintu bilik mereka. Mereka menunggu kalian menegur mereka dengan ramah dan membetulkan kesilapan mereka.

Walau pada zahirnya ada di antara mereka bersikap keras dan kadangkala menyakitkan hati, tapi jauh di sudut hati, mereka juga inginkan kebaikan. Mereka turut dahagakan ketenangan yang kamu kecapi.

Muslimat dakwah perlu bersikap ekstrovert dan ramah. Carilah wanita-wanita muslimat yang tidak tahu arah hidup. Peganglah mereka dan bimbinglah mereka bersama-sama kamu ke pondok ilmu..

Janganlah dipandang dengan buruk sangka atas kesilapan mereka, kerana mereka tidak tahu. Kerana mereka tidak disimbah oleh nur al-Quran.

Pandanglah mereka dengan pandangan kasih sayang kerana kita sendiri pun pernah melakukan kesilapan. Tetapi kita masih mengharap Allah memandang kita dengan pandangan Rahmat dan kasih-sayangNya yang Maha Hebat.

Beitulah juga mereka. Dekatilah mereka. Usahlah kamu terlalu sibuk dengan mesyuarat dan projek-projek yang memungkinkan kamu menjadi seorang ‘Manager Dakwah’, sampaikan lupa dengan tanggungjawab dakwah yang lebih utama.

Mulakan dengan senyuman ikhlas. Berlatihlah menayangkan senyuman paling manis, umpama senyuman sang pramugari.. senyumlah dari hati hingga terzahir pada bibir dan mata. Kerana sesungguhnya mata tidak pandai menipu. Mata yang tersenyum akan menyoroti seluruh wajah mad’u dan mata akan mengecil sedikit kerana senyuman dari hati adalah tindakan sinkroni antara mulut dan mata untuk tersenyum.

Muslimat dakwah..

Rebutlah mad’u.. rebutlah peluang untuk berdakwh kepada yang benar-benar mengharap..

Tersiar di Majalah i

No comments: