Sunday, June 15, 2008

Berhias untuk suami

“Saya ditakdirkan mempunyai raut wajah yang biasa. Kulit saya tidak secerah adik-beradik yang lain. Mata saya biasa dan hidung juga tidaklah menarik. Tubuh saya gempal sedikit jika dibandingkan dengan suami saya yang agak ‘berupa’. Kening suami saya lebat dan hidungnya mancung terletak.

Setiap kali kami ke pusat bandar, ada saja mata gadis meliar pada suami saya. Bagi saya , saya tidak kisah itu semua. Saya mempunyai kerjaya dan jawatan yang hebat berbanding dengan suami. Saya seorang wanita berkarier dan sentiasa sibuk.

Saya juga tidak kisah akan penampilan saya. Kalau ke pejabat, saya mengenakan pakaian yang kemas. Tetapi kalau berada di rumah, saya main sambar saja pakaian apa pun. Bagi saya, suami saya tidak kisah tentang itu semua. Kalaulah beliau kisah, masakan rumahtangga kami boleh bertahan sehingga kami dikurniakan 5 orang anak?

Sehingga pada suatu hari, suami saya memeperkenalkan saya dengan seorang wanita yang menawan. Di sebalik kegetiran yang bermukim di wajahnya, suami saya akhirnya menyambung… “ Ini isteri abang..”

Menyoroti kisah di atas, menggambarkan bahawa berhias adalah satu perkara yang tidak boleh diambil mudah. Para isteri patut tahu bahawa pakaian yang indah ditujukan buat suami, wajah yang berseri, rambut yang disikat rapi, di samping bebauan yang disuakai suami, dapat memberi rasa tenteram dan bahagia kepada suami setiap kali memandangnya.

Daripada Ibnu Abas r.a, Rasulullah s.a.w pernah berkata kepada Umar r.a, “ Sukakah kamu aku beritahu apa yang sebaik-baik harta kepada seorang suami? Ia adalah isteri yang solehah yang setiap kali suaminya memandangnya, ia menyenangan hati suami. Apabila ia diperintah, ia mematuhi perintah suaminya. Dan apabila suaminya tiada di rumah, ia menjaga hak dan kehormatan suaminya.”
( Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, isteri yang bijaksana perlulah pandai menghias diri untuk memikat pandangan suami. Bukan seperti sebaliknya yang berlaku, isteri kerap berhias untuk ke tempat kerja, tetapi apabila berada di rumah, segalanya berubah. Sikap suka berhias ini adalah amalan teladan para isteri solehah yang merupaan perhiasan termahal para suami ketika di dunia.

No comments: