Sunday, June 15, 2008

Pesan kepada anak, "Takutlah kepada Allah"

Berbeza dengan zaman di era 70an dan 80an, ibu-bapa pada zaman sekarang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang sempurna. Anak yang lahir dengan penuh susah-payah diharap agar dapat menghargai pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan. Bukanlah wang ringgit yang diharapkan. Apa yang lebih penting, anak-anak yang mereka besarkan itu berguna untuk keluarga, agama dan negara. 

Menurut Puan Hjh Siti Zailah Hj Mohd Yusoff yang merupakan bekas senator mewakili Kerajaan Negeri Kelantan, yang merupakan ibu kepada 12 orang cahayamata berkata, tugas mendidik bukan bermula semenjak bayi lahir tetapi bermula dengan diri dan peribadi ibu bapa.

Beliau yang membahasakan diri beliau Kak Lah berkata, “Kak Lah selalu bagi tazkirah kepada anak-anak. Kak Lah juga banyak berpesan kepada anak supaya berzikir di dalam kelas.”

Banyak ibu yang pesan kepada anak mereka supaya berjalan berhati-hati, tapi jarang yang berpesan kepada anak mereka ‘takutlah kepada Allah, jangan rugikan masa, dan jangan buat maksiat". - Kak Lah

Beliau sentiasa mencari cara yang terbaik di dalam membentuk anak-anak beliau. "Kak Lah membekalkan kitabAl-Quran terjemahan satu naskhah seorang supaya mereka membaca al-quran selalu dan supaya mereka dekat dengan Allah dan berada dalam zikrullah sentiasa.”

Ibu bapa yang berkerjaya terutamanya perlu bijak mengatur anak-anak mereka supaya rumahtangga sentiasa dalam keadaan terurus. Bagi Kak Lah, Kak Lah menyediakan satu kerangka tugasan bagi setiap orang anak-anaknya. Setiap orang mempunyai tugas masing-masing, hatta yang paling kecil pun turut diberi satu tugas paling mudah iaitu mengutip sampah.

“Setiap kali selepas solat berjemaah, Kak Lah akan peluk anak-anak Kak Lah dan Kak Lah bisikkan ke telinga mereka, “ Ummi bangga mempunyai anak ummi ini.” Walaupun pada anak-anak yang besar pun Kak Lah masih berbuat demikian. Dan kesannya anak-anak akan mudah menurut kata. Kak Lah tidak bersetuju pendekatan sesetengah ibu-bapa yang mengguna cara dan bahasa yang kasar dalam menegur anak-anak kerana itu akan membuatkan hati mereka semakin keras.”

Beliau menambah, jangan kita menyangka untuk mentarbiah anak-anak sahaja tetapi tarbiah itu bermula dengan mentarbiah diri sendiri. Walaupun memikul tugas yang berat sebagai Ketua Muslimat Kelantan dan sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan kemasyarakatan, beliau sentiasa mempertingkatkan pengetahuan.

“Dalam mendidik anak-anak, masa menyusu adalah masa yang paling erat antara seorang ibu dan anak. Menyusu mengambil masa sejam hingga dua jam sekali. Pada masa itu, banyak kerja yang boleh dibuat oleh si ibu. Bagi Kak Lah, setiap kali menyusu, Kak Lah akan menghabiskan satu helai bacaan tentang isu semasa yang dicari dan dicetak oleh suami. Kak Lah tidak menggunakan khidmat orang gaji walaupun mempunyai anak yang ramai.”

“Kalau mahu pergi berceramah, Kak Lah akan mengikat anak pada kerusi kereta dan Kak lah akan memandu. Kak Lah juga pernah menyusukan anak semasa memandu. Kak Lah lindungkan anak dengan telekung yang Kak Lah pakai dan tiada orang tahu pun yang Kak Lah sedang menyusukan anak. Begitulah resamnya, berjihad ini, kita kena sentiasa tabah,“ ujar beliau sambil tersenyum mengakhiri perbualan.

17 Jun 2007

1 comment:

Ellena F said...

Thoughtful blog, thanks for sharing.