Sunday, June 15, 2008

Setiap bahagian pokok betik ada nilai perubatan



Pokok betik biasanya ditanam di halaman rumah dan buahnya yang masak ranum atau yang masih muda amat digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Betik boleh dimakan sebagai pencuci mulut, dibuat acar, 'colek', diawet, dan daun pucuknya boleh dijadikan sebagai sayur. Kemanisan isinya sentiasa memikat sesiapa sahaja tidak kira tua ataupun muda.

Setiap bahagian betik sebenarnya mempunyai nilai perubatan yang tinggi, samada isi, bunga, daun, biji, batang, getah bahkan akarnya.

Buah betik masak
Buah betik masak amat kaya dengan vitamin A, C dan B kompleks, asid amino, kalsium, zat besi. enzim dan sebagainya. Protein di dalam betik mudah dihadam. Ini menjadikan betik amat baik bagi mereka yang mempunyai masalah pada sistem penghadaman. Betik bukan sahaja mempunyai protein mudah hadam, bahkan ia membantu menghadamkan makanan yang sukar dihadam.

Buah betik muda
Buah betik muda amat enak dimakan bersama gula dan cuka. Buah betik muda mempunyai kandungan protein yang lebih tinggi berbandng buah betik masak namun rasanya tidak dapat menandingi betik yang telah masak. Isi betik muda mengandungi kurang beta karotene berbanding buah masak kerana khasiat tersebut banyak terkumpul pada kulit

Daun
Daun betik adalah bahagian yang paling bernilai. Ini disebabkan pada daunlah paling banyak khasiat pemakann terkumpul seperti niasin, zat besi, serat, lemak, karbohidrat, beta karoten, vitamin C dan protein. Aktiviti memasak yang menyebabkan berlakunya proses pengoksidaan kadangkala boleh menghilangkan sebahagian khasiatnya.

Akar
Khasiat pada bahagian ini kurang diketahui oleh masyarakat. Akar betik telah digunakan oleh banyak negara untuk merawat beberapa penyakit. Akar pokok betik direbus dan diminum bagi menghalau parasit pada usus kecil, mengubat jaundis, sakit buah pinggang dan menghentikan pendarahan.

Getah
Getah betik yang dipanggil lateks ini banyak digunakan di dalam industri kosmetik. Lateks yang mengandungi papain, iaitu sejenis bahan aktif amat mujarab merawat pelbagai masalah kulit. Daun, batang dan buah muda akan dipotong bagi mengalirkan lateks. Masyarakat di beberapa buah tempat menggunakan daun betik yang ditumbuk untuk membalut daging bagi melembutkannya. Di dapati, para pekerja yang sering terkena getah betik mengalami masalah kulit tangan yang semakin menipis.

Perpustakaan USMKK
11-08-07

No comments: