Thursday, November 10, 2016

Janganlah hiba; 'reframe' dan 'goal resetting'

Alhamdulillah
Alhamdulillah thumma alhamdulillah
Thumma alhamdulillah
Thumma alhamdulillah
Thumma alhamdulillah
Thumma....


Hebatnya syukur, di tengah-tengah kesedihan, kita mencari-cari sebab untuk bersyukur. Tilik kanan tilik kiri. Merenung dalam diri, merefleksi ke masa lepas dan pada sekeliling.

Tanpa sedar, kita sudah melakukan 'reframing'.

Seterusnya, kita menetapkan matlamat baharu. Melakukan 'goal setting' baru. Mahu sihat, mahu bahagia, mahu kaya, mahu pandai dan sebagainya.


Teruskan membaca, sambungan daripada posting semalam..

***
KEDUA
Kita selalunya dapat apa yang kita tidak minta, maka kita perlu redha dengan apa yang kita minta tetapi masih bukan rezeki kita. Maka, perlu ada satu teknik berfikir yang jelas iaitu dipopularkan sebagai 'reframing'. Maksudnya, kita mengubah fokus kepada sudut pandang yang lain. Kalau sebelum ini sudut pandang kita adalah pada sudut A, sekarang cuba kita cari 'angle' lain yang semestinya positif untuk kita sangkutkan perhatian ke situ.


Saya ingin mengajak kita menukar persepsi. Semalam kita melihat diri kita sebagai seorang yang lemah kerana tidak mampu memberikan sebuah hadiah yang kita sangka paling bermakna buat suami, hari ini kita cuba memberi hadiah yang lain pula kepadanya. Berilah hadiah-hadiah yang dia suka, beri kasih-sayang dan penghargaan. Cipta momen-momen gembira untuk kita nikmati keindahan itu. Apa yang kita suka, cubalah dapatkannya dan nikmatinya berdua.


Untungnya mereka yang lambat memperoleh zuriat, masa untuk ber'honeymoon' lebih lama. Maka dapat memberi fokus kepada pasangan, keluarga, kerjaya dan aktiviti-aktiviti sampingan.


Homemade chicken mc deluxe
Memasak sangat sesuai dijadikan hobi dan boleh meringankan kepala yang berserabut. Kalau tak larat dah nak makan, bahagilah kepaxa jiran-jiran.


Renung-renungkan apa hobi anda?
Senaraikan ia.

Misalnya:
♡ Berkebun
♡ Berkayak
♡ Membaca novel thriller
♡ Membaca buku motivasi
♡ Berenang
♡ Kayuh basikal
♡ Memasak kek
♡ Melihat matahari muncul
♡ Melancong ke luar negara

Nilaikan kesukaan-kesukaan di atas, samada boleh diamalkan selalu atau tidak. Kirakan kos yang diperlukan. Ada teman atau tidak untuk melakukan aktiviti itu supaya kita jadi lebij bersemangat dan konsisten. Suami suka atau tidak? Hasilnya nanti bagaimana?

Pilih dan lakukan!
Enjoy it!


His birthday surprise 😘
Penghibur dan peneman yang setia


Go! Go! Excercise
Joining KJ for Fit Malaysia 😁

Persepsi baru; bahagia bukan dengan mendapat apa yang kita minta. Bahagia adalah dengan menghargai apa yang kita ada. 😊











Wednesday, November 09, 2016

Janganlah hiba; Allah penuh dengan kasih-sayang


Bismillahirrahmanirrahim

Dua tiga hari ini peti ‘inbox’ saya diketuk oleh beberapa lembaran pertanyaan daripada beberapa individu. 

Mesej tersebut berbunyi:
"K.Sam, salam perkenalan dari saya. Saya minta kata motivasi dan nasihat K.Sam kerana saya masih lagi belum dikurniakan zuriat. Tiba-tiba malam ini hati rasa sungguh sayu dan hiba dengan ujian ini."


Hiba saya membacanya.. saya berdoa agar Allah membantu saya untuk membantu saudari.


Bismillah..
Yang pertama; janganlah hiba kerana Allah itu penuh dengan kasih-sayang.

Dik, kita perlu sentiasa ingat bahawa Allah menguji pada mereka yang Dia sayang. Perlu kejap keyakinan itu. Perlu ingatkan diri selalu bahawa Allah mengatur siri-siri di dalam kehidupan kita secara terancang, tidak ada yang berlaku tanpa sengaja.. dan kerana dia SAYANGkan Adik. Untungnya menjadi insan yang disayangi Allah, dan tidak semua orang mendapat peluang itu.


Seperti seorang ibu yang mahu melihat bagaimana reaksi anaknya, si ibu bersembunyi di balik pintu dan mengintai bagi mengetahui apa respon sang anak. Begitu juga Allah, Dia mahu menguji kerana sesungguhnya kehidupan ini adalah 'untuk mencari siapakah yang paling baik amalannya di antara kita (maksud al-Mulk, ayat 2).


Ujian Allah untuk menilai kita, layakkah kita melangkah setingkat lagi, maka di situlah prestasi diuji. Ujian untuk menguji hati kita, apabila diuji kita mencari Tuhan atau selain Dia. Maka di sinilah bermulanya satu episod baru. Dan Allah telah memberi hidayah kepada kita, lalu apa jalan yang kita pilih.. "imma syaakiran wa imma kafuura". Allah melihat semua ini. Selangkah kaki kita ke arah Dia, sepuluh langkah Dia datang kepada kita. Sungguh Allah itu Maha Pengasih, bersifat dengan Ar-Rahim. Cuba lihat banyaknya kasih-sayang Allah pada kita. 


Tuhan Yang Maha Penyayang mengasihi kita lebih daripada kita mengasihi diri kita, lebih daripada seorang ibu mengasihi anaknya, dan kasih-sayang Allah tidak mengharapkan apa-apa balasan. Ibadah kita kepadaNya adalah untuk kebaikan diri kita, bukan untuk Allah. Allah tidak akan berkurang kemuliaannya dan kekayaanNya apabila penduduk bumi ini tidak meyembahNya.


"Bukankah Kami telah jadikan bumi itu sebagai hamparan dan gunung-gunung sebagai pancang-pancang, dan telah Kami jadikan kamu berpasang-pasangan, dan Kami jadikan tidur kamu untuk berlepas lelah, dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan telah Kami jadikan siang untuk kehidupan." (An-Naba' 6:11)

Betapa indah dan menenangkan kiriman ayat-ayat daripada Allah.. tentang kasih-sayangnya. Maka, nikmatilah malam, dan hargailah siang. 


Menurut Ibnu Jarir at-Tabari:
Gelap malam itu meliputi seluruh diri kamu bagaikan pakaian yang menutupi dirimu. Menurut tafsiran Ibnu Jubair dan As-Suddy pula, "Ketenangan doa kerana nyenyak tidur untuk membangkitkan tenaga baru untuk hari esok." Tenang-tenangkanlah diri di dalam selimut malam..

".. siang untuk penghidupan." 
Alangkah berbahagianya manusia yang dapat menyesuaikan hidupnya dengan tuntutan ayat-ayat ini, hal mana dia dapat mencari rezekinya di siang hari dan malam untuk berehat sambil menanti esok hari yang terang dengan pancaran gemilang sang mentari. Siang harinya bertongkat sabar, malam harinya berteduh syukur. 


Ya Allah!
Ya Rahim (Yang Maha Penyayang)
Kasih-sayangMu tidak ada hingganya. Engkau menjadikan di dalam hidup ini berpasang-pasangan. Malam bertemankan siang Engkau jelmakan untuk kami hamba-hambaMu yang menumpang teduh seketika di bumiMu yang luas. Tidak terhitung banyaknya nikmat-nikmatMu, tidak tersukatnya luasnya alamMu yang penuh keindahan. Ampunkan kami kerana tidak mampu melihat semua itu dengan pandangan syukur. Semua ini adalah lantaran kerahimanMu ya Arhamarrohimeen..